Masjid Terapung Kuala Perlis |
Masjid Terapung Kuala Perlis yang kini mewarnai wajah muara Sungai Perlis bakal menjadi mercu tanda baru pekan pinggir laut itu apabila ia mula digunakan secara rasmi Sabtu ini. Masjid bernilai lebih RM12 juta yang diperbuat daripada pelbagai bahan mineral tanpa sebarang cat itu mempunyai reka bentuk unik dengan dewan solat menghadap ke laut.
Pengerusi Masjid Terapung Kuala Perlis, Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, berkata masjid itu kelihatan tersergam indah dari arah laut dan darat dan bakal menjadi salah satu produk pelancongan di Perlis.Masjid itu yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan Universiti Malaysia Perlis (UniMap), berupaya menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu masa.
Kamarudin yang juga Naib Canselor UniMAP ketika ditemui Bernama hari ini berkata, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan berangkat merasmikan masjid itu Sabtu ini. Beliau berkata, UniMAP diberi tanggungjawab mengendalikan masjid itu sebagai "Pusat Islam" dan ia akan dimanfaatkan dengan pelbagai kegiatan keilmuan sepanjang masa.
"Kami rasa bertuah kerana diberi tanggungjawab itu dan kira-kira 3,000 pelajar UniMAP di kolej kediaman Kuala Perlis sudah pasti antara yang akan memanfaatkannya," katanya. Kamarudin berkata, masjid terapung itu bukan sekadar pusat ibadah tetapi juga akan menjadi tempat tumpuan pelancong asing dan tempatan yang sudah pasti ingin melihat keindahannya dari dekat.
"Kami juga akan mengawal kawasan ini supaya ia tidak disalahgunakan sebaliknya kekal sebagai pusat ibadah, pusat keilmuan dan pusat pelancongan," katanya. Semalam, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melawat masjid itu. Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut bertemu barisan jawatankuasa masjid yang diketuai Kamarudin. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment