Bekas Speaker Perlis Meninggal

KANGAR, 19 April (Bernama) - Bekas Speaker Dewan Undangan negeri Perlis, Datuk Indera Jaya Mahmud Hashim, 89, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Darat, Beseri dekat sini malam Rabu kerana sakit tua dan masalah saraf.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 11.45 malam di hadapan isterinya, Datin Argon Saad, 84, anak angkatnya, Abdul Manaf Kasa, 49 serta menantu angkatnya, Siti Jamaliah Zaini, 46. 

Anak sulung allahyarham, Hakimi, 54 memberitahu, ayahnya yang mengalami sakit saraf sejak kira-kira tujuh tahun lalu dengan mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar, terlantar di rumahnya kerana terlalu uzur sejak empat tahun lalu. 

Selepas bersara daripada perkhidmatan guru pada awal tahun tujuh puluhan beliau terbabit secara aktif dalam politik dan memenangi pilihan raya umum bagi kerusi dewan undangan negeri kawasan Paya pada 1974. 

Allahyarham yang memenangi kerusi yang sama bagi penggal kedua pada 1978 dilantik menjadi speaker dewan undangan negeri Perlis sehingga 1982. 

Jenazah allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Tunjong, tidak jauh dari kediamannya 1.45 tengah hari Khamis selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Darat, Beseri. 

Sumber -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...