Jabatan Pelajaran Perlis, PDRM Tandatangani MoU Banteras Masalah Disiplin

KANGAR, 7 Mac (Bernama) ,Jabatan Pelajaran Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perlis Rabu menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama membanteras masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Dun Kasa berkata melalui kerjasama itu ia akan dapat membantu menangani masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah menengah di negeri ini termasuk kes-kes ponteng sekolah dan salah laku. 

Katanya rekod Jabatan Pelajaran Perlis menunjukkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini meningkat 0.05 peratus daripada 0.48 peratus pada 2010 kepada 0.57 peratus tahun lalu menyebabkan perhatian lebih serius perlu diberikan bagi menangani gejala berkenaan. 

"Dengan adanya kerjasama antara Jabatan Pelajaran Perlis dan PDRM dalam menangani masalah ini, Jabatan Pelajaran mensasarkan dapat mengurangkan kes salah laku dan ponteng sekolah di kalangan pelajar di negeri ini kepada 0.03 peratus tahun ini," katanya ketika berucap sebelum upacara menandatangani MOU itu di sini Rabu.

Majlis menandatangani MOU itu diadakan di dewan mesyuarat Sekolah Menengah Datuk Sheikh Ahmad, Arau dekat sini dengan Dun menandatanganinya bagi pihak Jabatan Pelajaran manakala PDRM diwakili Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Harun.

Sumber -- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...