Alahai Jalan Perlis

Gambar Hiasan
Apakah yang dimaksudkan dengan signal di negeri Perlis ni. Tiba-tiba terfikir pula insiden yang berlaku bila keluar tadi. Apalah sikap orang-orang di sini yang sangat tak suka untuk memberi signal bila nak masuk simpang. Adakah ia sukar atau sengaja menyukarkan orang lain. Tanyalah akal. 

Sikap manusia yang kadang kala menyusahkan orang lain ni perlulah di ubah demi kesenangan pihak lain. Jika dipandang dari sudut positif, mungkinlah boleh dikatakan Perlis merupakan kawasan kampung dan tidak sibuk yang tidak memerlukan memberi signal,dan bukan seperti bandar besar yang lain. Tapi jika difikirkan semula adalah lebih baik jika peraturan jalan raya diikuti seperti biasa bagi mengelakkan berlakunya salah faham dan ketidakpuasan hati para pengguna jalan raya.

Bukan itu sahaja, malah lampu isyarat di sekitar Perlis juga sering kali rosak dan membahayakan pengguna jalan raya. Walaupun kereta tidak banyak ,namun ianya perlulah diambil perhatian bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.




Ganja Di Kuala Perlis

KANGAR, 21 April (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merampas tiga ketulan mampat dipercayai ganja ketika melakukan rondaan di perairan Kuala Perlis dekat sini semalam.

Pengarah Operasi APMM Wilayah Utara Kapten (Maritim) Salim Ahmad berkata Sabtu tiga ketulan mampat seberat tiga kilogram itu ditemui di dalam sebuah beg hitam kira-kira pukul 8.30 pagi setelah pihaknya memeriksa sebatang kayu berpelampung yang ditemui di perairan itu.

Beliau berkata sebelum itu, bot peronda APMM yang sedang menjalankan rondaan dan penguatkuasaan maritim di perairan Kuala Perlis itu mengesan sebuah vesel di perairan sempadan yang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya pasukan APMM juga melihat ada individu yang membuang sesuatu ke dalam laut sebelum vesel itu memecut laju memasuki semula perairan Thailand.

"Hasil pemeriksaan, APMM menemui sebatang kayu panjang berpelampung seperti kayu penanda pukat. Setelah kayu itu diangkat, kami temui beg hitam yang di dalamnya mengandungi tiga ketulan daun kering mampat yang dibungkus dalam plastik lutsinar," katanya kepada pemberita di Pangkalan APMM Kuala Perlis hari ini.

Sumber -- BERNAMA

Geng Curi Susu Tertangkap

KANGAR – Kegiatan mencuri susu oleh Geng Kangkang berjaya ditumpaskan polis dalam masa 13 jam selepas menahan lima daripada 10 ahli kumpulan itu.

Ketua Polis Negeri Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, pada 5 April lalu antara jam 3.30 hingga 4.05 petang sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan telah mencuri susu tepung pelbagai jenama di dua premis peniagaan runcit, di sini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan kumpulan terbabit memasukkan susu dicuri ke dalam kain sebelum barangan terbabit dibawa keluar dari premis berkenaan.

“Polis menahan tiga lelaki dan dua perempuan dipercayai ahli kumpulan terbabit di Klang, Selangor selepas menjejaki kereta sewa yang digunakan ketika melakukan jenayah terbabit.

“Hasil soal siasat, kumpulan terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan terbabit dan barangan curi itu dijual kepada seorang lelaki yang merupakan peniaga kedai ubat di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di IPK Kangar, semalam.

Zull Aznam berkata, pada 7 April lalu, polis menahan seorang lelaki berumur 48 tahun dan merampas sebahagian besar barangan curi itu.

Katanya, tiga daripada lima ahli kumpulan yang ditangkap mempunyai rekod lampau kerana terlibat dalam kes mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dari dalam bangunan dan salah seorang telah dihukum mengikut Seksyen yang sama.

“Polis masih mencari lima saki baki ahli kumpulan terdiri daripada tiga perempuan dan dua lelaki,” katanya.

Unimap Dapat Anugerah Di Luar Negara

Kangar - Penyelidik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Dr. Uda Hashim berjaya meraih dua anugerah utama pada Exhibition of Invention di Geneva, Switzerland. Prof Dr. Uda meraih Grand Award yang dianugerahkan oleh Rusia serta Best Jury Award melalui produknya Nano Biochip. Selain itu, produk yang sama turut meraih pingat emas pertandingan.

Prof. Dr. Uda turut meraih pingat perak melalui satu lagi produknya Mask Sligner For Teaching and Research. Sementara itu, dua lagi produk UniMAP yang menyertai pertandingan tersebut meraih pingat perak pertandingan iaitu produk Smart Antenna for Unmanned Aerial Vehicle dan Smart Material Antenna hasil penyelidikan Dr. Fareq Abdul Malik. 

Pameran yang menghimpunkan penyelidik-penyelidik ternama dari seluruh dunia dan dianjurkan buat kali ke-40 itu berlangsung selama lima hari berakhir semalam. Naib Canselor UniMAP, Brig Jen Dato Prof Dr Kamarudin Hussin berkata, kejayaan yang diraih oleh Prof Dr. Uda Hashim itu amat bermakna tambahan pula UniMAP meraikan ulang tahun ke-10 tahun ini.

Ujar beliau, penyertaan kali ini merupakan penyertaan ke-6 UniMAP dan kejayaan meraih dua anugerah khas merupakan yang tertinggi pernah diraih pada pertandingan berprestij itu.

"Ini merupakan pertandingan antarabangsa tahun ini, dan saya berasa amat bangga kerana keempat2 produk meraih pingat selain turut mendapat pengiktirafan khas. "Semoga kejayaan ini akan menjadi pencetus semangat buat penyelidik UniMAP dalam pertandingan antarabangsa lainnya yang disertai tahun ini," ujar beliau lagi.








Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...