Geng Curi Susu Tertangkap

KANGAR – Kegiatan mencuri susu oleh Geng Kangkang berjaya ditumpaskan polis dalam masa 13 jam selepas menahan lima daripada 10 ahli kumpulan itu.

Ketua Polis Negeri Perlis, Senior Asisten Komisioner Zull Aznam Haron berkata, pada 5 April lalu antara jam 3.30 hingga 4.05 petang sekumpulan penjenayah yang terdiri daripada empat lelaki dan empat perempuan telah mencuri susu tepung pelbagai jenama di dua premis peniagaan runcit, di sini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan kumpulan terbabit memasukkan susu dicuri ke dalam kain sebelum barangan terbabit dibawa keluar dari premis berkenaan.

“Polis menahan tiga lelaki dan dua perempuan dipercayai ahli kumpulan terbabit di Klang, Selangor selepas menjejaki kereta sewa yang digunakan ketika melakukan jenayah terbabit.

“Hasil soal siasat, kumpulan terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan terbabit dan barangan curi itu dijual kepada seorang lelaki yang merupakan peniaga kedai ubat di Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media di IPK Kangar, semalam.

Zull Aznam berkata, pada 7 April lalu, polis menahan seorang lelaki berumur 48 tahun dan merampas sebahagian besar barangan curi itu.

Katanya, tiga daripada lima ahli kumpulan yang ditangkap mempunyai rekod lampau kerana terlibat dalam kes mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri dari dalam bangunan dan salah seorang telah dihukum mengikut Seksyen yang sama.

“Polis masih mencari lima saki baki ahli kumpulan terdiri daripada tiga perempuan dan dua lelaki,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...